KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Pejabat Parlimen Sepanggar menganjurkan Program Gotong-Royong Perdana bagi membantu memulihkan kawasan yang terjejas akibat banjir di Kampung Rampayan, Manggatal, di sini, baru-baru ini.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata program itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan UMS dalam menyantuni masyarakat setempat, khususnya ketika berdepan bencana alam.

“Program ini disertai seramai kira-kira 300 orang pelajar UMS bagi membantu kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas banjir.
“Ia bagi membantu meringankan beban penduduk kampung dalam membersihkan sisa banjir dan memulihkan persekitaran agar lebih kondusif serta selamat untuk didiami, termasuk kawasan sekolah dan kemudahan awam yang dinaiki air sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Kasim berkata kerja-kerja pembersihan yang dijalankan tertumpu kepada kemudahan awam, kawasan persekitaran kediaman penduduk dan lokasi-lokasi tumpuan komuniti yang terjejas akibat banjir.
Dalam pada itu, Kasim turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pejabat Parlimen Sepanggar atas sokongan padu dan kerjasama erat yang diberikan dalam menjayakan program itu.
“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pejabat Parlimen Sepanggar atas kolaborasi strategik ini.
“Kerjasama erat antara institusi pendidikan dan pejabat Parlimen amat penting dalam memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih efisien kepada rakyat yang memerlukan.
“Program ini secara tidak langsung mengukuhkan hubungan strategik antara UMS dan komuniti Parlimen Sepanggar, selari dengan aspirasi universiti untuk terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Turut hadir pada program itu ialah Pengarah Pejabat Parlimen Sepanggar, Ashim Jamat; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Azmi Jumat dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS, Dr Rizal Zamani Idris. – Info X