PUTATAN: Kebakaran di Kampung Dumpil, di sini berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.04 pagi, hari ini, selepas hampir sejam operasi pemadaman dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Kejadian itu membabitkan 17 rumah atas air, dengan 14 rumah musnah sepenuhnya, sebuah rumah terbakar 50 peratus, manakala dua lagi mengalami kerosakan sekitar 10 peratus.
Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Dalam pada itu, beberapa penduduk bertindak menggunakan baldi berisi air untuk menyiram anggota bomba yang sedang menjalankan operasi pemadaman, bagi mengurangkan kesan bahang panas melampau ketika api sedang marak di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 6.59 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak empat kilometer dari BBP Putatan.
“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran didapati membabitkan 17 rumah jenis tidak kekal berkeluasan keseluruhan 935 meter persegi.
“Pasukan operasi kemudiannya bertindak memadamkan api kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 91 meter dengan lima pancutan dari sumber air jentera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 8.04 pagi dan operasi pemadaman masih dijalankan setakat jam 11 pagi.

Katanya, operasi turut dibantu pasukan BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang melibatkan 15 anggota dan dua jentera.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X