KOTA KINABALU: Ekoran tindakan seorang lelaki meninggalkan kenderaan sewaktu melalui pemeriksaan jalan membawa kepada pembongkaran kegiatan penagihan dadah dalam kejadian di Jalan Tuaran Bypass, di sini, semalam.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan berjaya ditahan sebelum didapati memiliki kertas timah dan satu tiub plastik berisi sisa hablur jernih disyaki syabu dalam operasi jam 2.30 petang itu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah Superintendan Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, operasi berkenaan dijalankan untuk mengenalpasti salah laku membabitkan kenderaan perdagangan.
“Pasukan operasi terus bertindak mengejar lelaki terbabit sebaik menyedari tindakan suspek melarikan diri.
“Suspek terus dibawa ke Bahagian Siasatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
“Keputusan ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Zamzuri menyatakan pihaknya turut berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 0.04 gram di dalam beg sandang yang dibawa suspek.
“Operasi ini dijalankan adalah bagi mengesan pemandu warga asing yang memandu kenderaan perdagangan terutamanya lori yang membawa muatan melebihi had dibenarkan.
“Selain itu, ia juga bagi mengesan pemandu lori yang tidak memiliki lesen memandu kerana dibimbangi boleh membahayakan pengguna-pengguna jalanraya yang lain,” katanya. – Info X