Search

Grid Kuasa Sabah-Sarawak dilancar, sasar kukuhkan bekalan elektrik di Sabah

January 24, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dan Sarawak hari ini melancarkan Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah-Sarawak yang disasar untuk memperkukuh sistem bekalan elektrik di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata projek itu juga bagi memastikan bekalan elektrik di Sabah menjadi lebih stabil, boleh dipercayai dan mampan.

Katanya, projek itu juga disasar mampu mengurangkan kebergantungan penjanaan berasaskan bahan api fosil secara berperingkat, memperkukuh margin rizab elektrik Sabah dan meningkatkan lagi keyakinan pelabur terhadap kebolehlaksanaan dan kebolehpercayaan bekalan kuasa di negeri ini.

“Sabah menghargai kesediaan Sarawak untuk menjadi rakan strategik tenaga, bukan saja melalui kerjasama dalam bekalan elektrik merentasi sempadan, malah sebagai rakan pembangunan Borneo yang berkongsi aspirasi masa depan yang sama.

“Usaha untuk meningkatkan pembangunan tenaga elektrik di Sabah memerlukan kerjasama semua pihak sebagai satu pasukan. Komitmen Kerajaan negeri adalah jelas, iaitu memastikan bekalan elektrik negeri ini diperkukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah-Sarawak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.

Majlis itu turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Hajiji berkata, bagi pihak Kerajaan Sabah, beliau percaya usaha bersama seumpama itu adalah satu langkah penting ke arah merealisasikan visi bersama BIMP EAGA.

“Dengan memajukan infrastruktur merentasi sempadan melalui Grid Kuasa ASEAN (APG), kita secara langsung meningkatkan prospek ekonomi semua negara yang terlibat.

“Infrastruktur tenaga yang berdaya tahan dan mampan seterusnya akan mengukuhkan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa, sekali gus memacu pertumbuhan dalam sektor perindustrian, pembuatan dan hiliran,” katanya.

Jelasnya, sebagai pintu masuk utama Malaysia ke BIMP-EAGA, Sabah memainkan peranan strategik dalam menyatukan sistem kuasa Borneo yang bukan saja membuka potensi perdagangan tenaga merentasi sempadan, malah mewujudkan rangka kerja bagi pasaran tenaga serantau yang bersepadu, cekap dan mampan.

Malah, katanya Interkoneksi Grid Sabah-Sarawak adalah satu pencapaian penting yang mampu membuka laluan kepada hubungan masa depan dengan Kalimantan, Brunei Darussalam dan akhirnya Filipina selatan.

“Kerajaan negeri menyedari sepenuhnya bahawa permintaan elektrik di Sabah semakin meningkat seiring dengan pertumbuhan populasi, pengembangan industri dan pembangunan luar bandar. Memenuhi permintaan ini menjadi keutamaan strategik yang kritikal.

“Bagi menangani perkara ini, Kerajaan negeri melalui Majlis Tenaga Sabah, Suruhanjaya Tenaga Sabah dan agensi berkaitan lain melaksanakan strategi menyeluruh secara berfasa merangkumi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Pendekatan ini memastikan margin rizab penjanaan yang mencukupi dan meningkatkan daya tahan serta kebolehpercayaan keseluruhan sistem tenaga Sabah,” katanya.

Ketua Menteri berkata inisiatif utama yang sedang dilaksanakan dan dirancang termasuk kelulusan serta pembangunan projek penjanaan tenaga baharu, merangkumi campuran sumber tenaga yang pelbagai.

“ni termasuk penggunaan loji janakuasa berasaskan gas sebagai sumber tenaga peralihan, di samping pengembangan tenaga boleh baharu seperti hidro, solar, angin serta teknologi penyimpanan tenaga termaju seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri dan hidro simpanan pam,” katanya.

Beliau berkata langkah-langkah itu bukan saja bertujuan meningkatkan kapasiti, malah mengurangkan risiko gangguan bekalan dengan mengurangkan kebergantungan berlebihan kepada satu sumber tenaga sahaja.

Hajiji berkata, kerajaan negeri komited sepenuhnya untuk memastikan sektor tenaga Sabah berkembang seiring dengan kelestarian alam sekitar.

“Berpandukan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040, kita memberi tumpuan kepada tenaga boleh baharu bagi mengurangkan intensiti karbon.

“Usaha ini selaras dengan komitmen perubahan iklim kita di peringkat negeri dan nasional, demi memastikan masa depan tenaga yang lebih hijau dan mampan untuk generasi akan datang,” katanya.

Kerajaan Sabah, katanya kekal teguh dalam misinya untuk menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan mampan bagi memacu aspirasi pembangunan Sabah serta memastikan kesejahteraan keseluruhan rakyatnya. – Info X