Search

Tiga cedera kenderaan jatuh gaung di Lahad Datu

January 25, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Tiga lelaki cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira enam meter di Kilometer 13, Jalan SMK Segama, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.02 pagi.

Katanya, sepasukan sembilan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 13 kilometer.

“Jentera tiba pada jam 1.12 pagi dan mendapati sebuah Toyota Vigo berada di dalam gaung dengan tiga mangsa tersepit di dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya (RTA) untuk mengeluarkan semua mangsa yang terperangkap.

“Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan dilaporkan mengalami kecederaan. Mangsa kemudian dibawa naik ke jalan raya menggunakan tali dan pengusung sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau berkata, mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.17 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya. – Info X