KOTA KINABALU: Atlet para Sabah menyumbang 10 pingat emas, 15 perak dan 15 gangsa kepada kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) Ke-13 di Nakhon Ratchasima, Thailand, yang bermula 21 Januari hingga hari ini.
Berikutan kejayaan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada atlet Sabah yang mewakili kontinjen Malaysia pada temasya itu.
“Pencapaian itu membuktikan keupayaan atlet Sabah untuk bersaing di pentas antarabangsa serta menjadi inspirasi kepada generasi muda dalam bidang sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Anugerah Sukan Negeri Sabah di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Isnin.
Kunjungan itu diketuai Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Turut hadir pada kunjungan itu ialah Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Seri Dr Anil Sandhu; Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Mansur Asun; Pengerusi Lembaga Sukan Sabah, Syed Ahmad Syed Abas; Pengarah Majlis Sukan Negeri, Mohd Asneh Mohd Noor dan Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah, Terrance Edward Pudin.

Pada temasya para serantau itu, atlet Sabah berjaya meraih lima pingat emas, tujuh perak dan tiga gangsa dalam acara olahraga; lima emas, lapan perak dan sembilan gangsa bagi acara renang; satu gangsa dalam acara powerlifting; dua gangsa bagi acara ping pong; serta masing-masing satu perak dan satu gangsa dalam acara lawn bowls (Demo Sukan).
Dua atlet dari Tuaran, Abdul Halim Mohammad dan Ivan Jovic Suan, turut mencuri tumpuan apabila masing-masing menyumbang lima dan tiga pingat emas menerusi acara renang dan olahraga.
Atlet para olahraga Sabah, Wong Kar Gee pula merangkul emas acara lompat jauh lelaki T12, sekali gus mencipta rekod baharu APG dengan lompatan sejauh 6.83 meter.
Pada kunjungan hormat itu, Nizam turut menyampaikan jemputan rasmi dan memberi taklimat kepada Ketua Menteri mengenai penganjuran Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2026 yang akan diadakan pada 6 Februari depan.
Majlis berprestij yang diadakan setiap dua tahun sekali itu dijadualkan berlangsung di Magellan Sutera Harbour Resort, di sini.
Nizam berkata, sebanyak 16 kategori anugerah akan disampaikan pada majlis berkenaan bagi mengiktiraf kecemerlangan atlet Sabah yang mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk Anugerah Tokoh Sukan Negeri Sabah.
Ends