KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan yang baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar kini sah sebagai ahli Dewan Rakyat setelah mengangkat sumpah pada Selasa.
Anak bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin itu hadir ke Parlimen di Kuala Lumpur buat julung kali menggantikan tempat bapanya setelah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Sabtu lalu.
Pada PRK itu, Naim menang dengan majoriti 14,214 undi setelah memperolehi 19,852 undi berbanding pencabar terdekatnya, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) yang memperolehi 5,638 undi dan Goldam Hamid (Bebas) dengan 946 undi.
PRK Kinabatangan diadakan serentak dengan PRK DUN Lamag yang turut menyaksikan calon BN, Mohd Ismail Ayob atau Miha memenangi kerusi berkenaan.
Miha menang dengan majoriti 5,681 undi setelah mendapat 7,269 undi berbanding lawannya, Mazliwati Abdul Malek (Warisan) yang memperolehi 1,588 undi.
PRK di kedua-dua kerusi itu itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.
Bekas Ketua UMNO Sabah itu sebelum ini mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan selama enam penggal, manakala penggal kedua di DUN Lamag menerusi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada 29 November lalu.
Berikutan pemergian Bung Moktar, kedua-dua kerusi diisytihar kosong sebelum PRK diadakan dan anak Allahyarham dinamakan sebagai calon di kerusi Parlimen Kinabatangan, manakala Miha yang juga bekas calon Bebas di kerusi DUN Lamag pada PRN17 dicalonkan mewakili BN di kerusi DUN berkenaan. – Info X