Search

KBS DIMINTA CUNGKIL LEBIH RAMAI BAKAT SUKAN BAHARU

June 16, 2022

admin

KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah diminta mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam bidang sukan dalam usaha memastikan negeri ini mempunyai atlet pelapis pada masa akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Haji Noor, berkata usaha berkenaan boleh dilakukan dengan mengadakan pelbagai program atau pertandingan berkaitan sukan bagi mencari bakat baharu di seluruh negeri.

“Kerajaan negeri komited dalam memajukan sukan di negeri ini kerana ramai atlet muda kita yang bersaing hingga ke peringkat antarabangsa dan pernah mengharumkan nama negara.

“Ia termasuklah pelayar negara, Rufina Tan, pemain golf negara, Ben Leong dan terkini dua perenang negara iaitu Janetty John Fabian serta Loo Yie Bing.

“Negeri kita juga memiliki atlet yang pernah menang pingat emas di Sukan SEA di Hanoi baru-baru ini seperti Andre Anura Anuar dalam acara lompat kijang, Jellson Jabilin (akuatik terjun), Fatin Nur Fatehah Mat Salleh (memanah) dan Natahsya Soon (berbasikal).

“Oleh itu, saya meminta kementerian mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan agar ia menjadi kesinambungan untuk generasi pelapis.

“Saya pasti ramai anak muda kita yang berbakat sama ada dalam olahraga, badminton, renang dan berbasikal yang boleh diketengahkan,” katanya pada Majlis Meraikan Pencapaian Atlet Sabah sempena Temasya Sukan SEA Ke-31 Hanoi 2021 di Dewan Bankuasi Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sr Safar Untong, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Mansur Asun.

Mengulas lanjut, Hajiji menyatakan kerajaan negeri dalam Belanjawan 2022 sudah memperuntukkan sebanyak RM52.02 juta untuk pembangunan sukan termasuklah prasarana dan fasiliti sukan pada tahun ini bagi negeri Sabah.

“Program pembangunan sukan bukan sahaja disasarkan untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas tetapi turut ke arah melakar nama negeri di peringkat antarabangsa selain melahirkan lebih ramai atlet muda di negeri ini,” katanya. – Info X