SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing disyaki pengedar dadah ditahan bersama 51.13 gram dadah jenis syabu dalam di Kampung Batu, di sini, malam tadi.
Suspek berusia 32 tahun itu diberkas kira-kira jam 10 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menerusi Operasi Tapis.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, pihak menjalankan operasi selepas menerima maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah di kampung berkenaan
Katanya, pasukan operasi mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menghampiri suspek yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan, namun berjaya diberkas.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki dadah jenis syabu seberat 51.13 gram yang disimpan dalam satu bungkusan plastik hitam dan berada dalam genggaman tangannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek terbabit merupakan warganegara asing dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif Amphetamine dan Methamphetamine.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan,” katanya.
Dalam pada itu, Tan menegaskan polis akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah narkotik di daerah ini demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya generasi muda di Semporna.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta tampil menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran,” katanya. – Info X