Search

Bawa isu tafsiran MA63 berkaitan minyak dan gas ke mahkamah – Pemuda Gagasan Rakyat

January 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyarankan agar Kerajaan Negeri menimbangkan untuk membawa isu tafsiran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan minyak dan gas ke mahkamah.

Saranan itu berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengatakan MA63 tidak memperuntukkan sebarang perkara berkaitan pemilikan atau kawal selia sumber minyak dan gas.

Perkara itu disebut dalam jawapan bertulis Azalina kepada soalan Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju di Dewan Rakyat pada 26 Januari.

Ketua Penerangan Pemuda Gagasan Rakyat, Barhul Sahibu, berkata kenyataan itu menimbulkan persoalan besar dari sudut tafsiran perlembagaan dan semangat pembentukan Malaysia.

Berikutan itu, beliau berkata pihaknya menyarankan agar tafsiran mengenai perkara itu dibawa ke mahkamah supaya ia dapat ditentukan secara sah, telus dan berlandaskan perlembagaan, bukan bergantung kepada tafsiran sepihak atau kenyataan politik semata-mata.

“Isu ini bukan soal emosi atau retorik tetapi soal hak perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan keadilan kepada Sabah.

“Kepastian undang-undang amat penting demi hubungan Persekutuan-Negeri yang sihat, stabil dan berasaskan prinsip rakan setara seperti yang dijanjikan dalam pembentukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kenyataan Azalina itu menimbulkan persoalan sama ada ia adalah pendirian rasmi Kerajaan Persekutuan, iaitu bahawa sumber minyak dan gas sama sekali tidak termasuk dalam kerangka hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak di bawah MA63.

“Jika benar, maka penjelasan ini
wajar dinyatakan secara jelas dan konsisten, kerana selama ini MA63 sering dirujuk sebagai asas tuntutan hak negeri, termasuk dalam konteks sumber dan hasil.

“Walaupun MA63 mungkin tidak menyebut secara literal tentang petroleum, ia tidak boleh ditafsir secara sempit. MA63 adalah dokumen asas pembentukan Malaysia yang memperuntukkan kedudukan, hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak sebagai rakan pembentuk Persekutuan,” katanya.

Jelasnya, sebarang undang-undang Persekutuan yang digubal selepas 1963, termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974, tidak seharusnya menafikan atau menghakis semangat, hak dan autonomi yang dijamin ketika pembentukan Malaysia.

Beliau berkata, jika Kerajaan Persekutuan berpegang bahawa isu minyak dan gas adalah sepenuhnya di luar ruang lingkup MA63 dan tertakluk mutlak kepada undang-undang Persekutuan, maka jalan terbaik dan paling berprinsip ialah membiarkan isu itu diputuskan secara muktamad oleh mahkamah. – Info X