PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan yang disyaki mencuri kabel syarikat telekomunikasi ditahan polis di Jalan Yue Min, Donggongon, di sini, petang Khamis.
Penahanan dibuat selepas kenderaan dipandu suspek berusia 30 tahun terbabas dan merempuh sebuah premis perniagaan ketika cuba melarikan diri daripada polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata, sepasukan Unit Peronda Polis (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Penampang mengesan sebuah kenderaan mencurigakan susulan maklumat awam yang diterima.
Menurutnya, kenderaan berkenaan dikesan untuk tujuan pemeriksaan lanjut, namun pemandu enggan berhenti sebelum memecut laju dari kawasan Kobusak menuju ke Bundusan.

“Kenderaan suspek kemudian hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebuah premis perniagaan di Jalan Yue Min.
“Suspek keluar dari kenderaan dan cuba melarikan diri dengan berjalan kaki, namun berjaya ditahan oleh anggota polis tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan menemukan segulung kabel wayar tembaga yang dipercayai dicuri, selain sebuah bateri kenderaan, manakala kenderaan yang digunakan turut dirampas bagi membantu siasatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati semua barangan yang dirampas mempunyai kaitan dengan kes kecurian kabel telekomunikasi di kawasan sekitar Donggongon.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai kesalahan berkaitan dadah dan hasil ujian saringan air kencing turut mengesahkan lelaki itu positif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap kemudahan awam, selain Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Kes dadah pula disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Erwansyah menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah kecurian kabel yang bukan sahaja menyebabkan kerugian, malah menjejaskan kemudahan awam serta perkhidmatan telekomunikasi.
“Tindakan tegas dan operasi pencegahan akan terus dipergiat.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini atau jenayah lain diminta menyalurkannya kepada balai polis berhampiran bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. – Info X