Search

SMJ 2.0 tumpu lonjakan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi – KM

January 30, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri hari ini melancarkan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026-2030, dengan sasaran untuk melonjakkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata SMJ 2.0 adalah lanjutan dan kesinambungan SMJ 1.0 yang dilaksanakan pada penggal lalu dengan tumpuan terhadap pemulihan, penstabilan dan penyusunan semula selepas pandemik COVID19.

“SMJ 2.0 bukan sekadar pelan pembangunan. Ia bukti komitmen kerajaan memimpin perubahan dalam dunia yang bergerak pantas, dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, perdagangan rentas sempadan dan persaingan global.

“SMJ 2.0 dirangka melalui libat urus menyeluruh membabitkan Kabinet Negeri, kementerian, pemain industri, golongan belia dan seluruh lapisan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri dan Pelancaran SMJ 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah Sabah (SICC), di sini, pada Jumaat.

Hajiji berkata, Belanjawan Negeri 2026 memperuntukkan RM12.02 bilion untuk membiayai 1,173 program dan projek pembangunan, menjadikannya yang tertinggi dalam sejarah Sabah, sejajar pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dan aspirasi Malaysia MADANI.

Katanya, pelan SMJ 2.0 juga disusun dan mematuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan pembangunan mampan dan kesejahteraan sosial.

“SMJ 2.0 juga mengangkat komitmen dan manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), berpaksikan empat tonggak utama iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.

“Lima objektif pelan ini ialah membina masyarakat bersatu dan aman, mengoptimumkan hasil negeri, mempelbagaikan ekonomi, meningkatkan ekonomi rakyat dan membangunkan modal insan,” katanya.

Beliau berkata, pelan itu digerakkan melalui tiga teras utama iaitu sektor pertumbuhan ekonomi yang memberi fokus kepadperindustrian, pelancongan dan pertanian; pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat, termasuk pendidikan, TVET, STEM, latihan pertanian dan digital serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau yang merangkumi infrastruktur asas, tenaga lestari dan alam sekitar.

Ketiga-tiga teras itu, katanya disokong tumpuan kepada Ekonomi Biru, Pendigitalan AI dan Pembangunan Inklusif serta dipacu lima pemboleh daya utama iaitu kemampanan fiskal, kemudahan kewangan, keberkesanan perkhidmatan, tadbir urus berintegriti dan kerajaan digital.

Menerusi sektor perindustrian, Hajiji berkata, Sabah berjaya menarik pelaburan puluhan bilion ringgit, termasuk projek Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd bernilai RM31 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas (SOGIP), Sipitang yang dijangka mewujudkan 10,000 pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh rantaian bekalan industri keluli di Sabah.

Selain itu katanya, kerajaan akan mempercepatkan pembangunan dan naik taraf taman perindustrian strategik di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), SOGIP dan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu, di samping merangka Pelan Induk Perindustrian Kudat untuk Ekonomi Biru, manakala dua taman industri baharu di Kota Belud-KotaMarudu dan Beaufort-Kimanis dirancang bagi memperluas peluang pembangunan wilayah.

Beliau berkata, sektor pelancongan Sabah menunjukkan pemulihan yang amat memberangsangkan, dengan hampir 10 juta pelancong direkodkan dalam tempoh lima tahun lalu.

Katanya, seiring Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Sabah Year 2027, kerajaan menumpukan pelancongan berkualiti tinggi, produk premium, acara antarabangsa dan piawaian perkhidmatan global termasuk ASEAN Tourism Standard menjelang 2030.

“Pemeliharaan warisan, budaya dan alam sekitar juga diberi perhatian melalui pembangunan Pusat Kebudayaan Kinarut, Majlis Seni Negeri Sabah, tapak Warisan Dunia UNESCO dan Taman Teluk Darvel, dengan peruntukan RM444.69 juta di bawah RMKe-13,” katanya.

Hajiji berkata, sektor pertanian pula kekal sebagai teras strategik SMJ 2.0, merangkumi tanaman, ternakan dan perikanan dengan peruntukan RM580.45 juta di bawah RMKe-13.

“Sasaran tahap sara diri (SSL) beras meningkat daripada 30 peratus kepada 60 peratus menjelang 2030 melalui Program Revolusi Padi di enam daerah, penyediaan jentera moden bernilai RM15 juta dan pembangunan Sabah Agricultural Biotechnology Centre (SABTeC) di Tuaran.

“Sub sektor ternakan menyasarkan 25 peratus SSL ruminan menjelang 2030 melalui Program Perladangan Kontrak, manakala perikanan dipacu melalui Ekonomi Biru Sabah dengan peningkatan pendaratan ikan, pelabuhan dan pembangunan rantaian hiliran,” katanya. Info X