Search

PPM Tawau gagalkan seludup diesel, rampasan hampir RM650,000

January 30, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Cubaan menyeludup minyak diesel ke negara jiran berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau selepas menahan sebuah kapal kargo di perairan Sungai Selipar, Pulau Sebatik, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.21 petang itu, bot ronda PPM Tawau menahan kapal berkenaan untuk pemeriksaan ketika menjalankan rondaan pencegahan jenayah maritim.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abdul Rahman berkata, kapal terbabit yang bergerak dari Pulau Sebatik menuju ke Nunukan, Indonesia, dijuragani seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kapal berkenaan membawa sebanyak 11,600 liter minyak diesel yang disimpan di dalam tiga tangki minyak berlainan kapasiti serta tiga tong drum berwarna biru di ruangan kargo kapal.

“Tangki pertama mengandungi 4,600 liter, tangki kedua 4,000 liter dan tangki ketiga 2,000 liter minyak diesel, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 11,600 liter.

“Pemeriksaan mendapati juragan kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen sah daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia berkaitan pemilikan dan pengangkutan minyak diesel berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tangki berisi diesel yang disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran

Ahmad berkata, minyak terbabit dipercayai diesel bersubsidi yang cuba diseleweng dan diseludup ke Indonesia bagi tujuan pasaran luar negara.

“Susulan itu, kapal bersama minyak diesel berkenaan telah dirampas untuk siasatan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk kapal kargo bunga sawit dan minyak diesel itu dianggarkan berjumlah RM647,850,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan di perairan Sabah bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta penyelewengan bahan api bersubsidi yang bukan sahaja merugikan negara, malah boleh menjejaskan keselamatan perairan. – Info X