Search

Lelaki warga asing ditahan ugut sebar video peribadi

January 31, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Menjadikan video dan gambar peribadi sebagai alat ugutan, seorang lelaki warga asing akhirnya diberkas polis kurang 24 jam selepas laporan dibuat berhubung kes pemerasan terhadap seorang wanita di Merotai Besar, di sini, semalam.

Suspek berusia 30-an itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai, jam 5.45 petang di kawasan tepi Gerai Kampung Merotai Besar, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat susulan laporan seorang wanita berusia 20-an yang mendakwa menerima ugutan daripada bekas kenalannya melalui beberapa nombor telefon.

Menurutnya, suspek mengancam untuk memviralkan video dan gambar peribadi mangsa sekiranya gagal menyerahkan sejumlah wang, kira-kira jam 10.35 pagi.

“Suspek juga dipercayai kerap menghubungi mangsa pada waktu malam dengan tujuan mengganggu dan merosakkan keharmonian rumah tangga mangsa.

“Disebabkan takut bahan peribadi itu disebarkan, mangsa mendakwa terpaksa memberikan sejumlah wang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Polis turut merampas sebilah pisau serta dua telefon bimbit di dalam sebuah beg sandang dipercayai digunakan semasa kejadian berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut menemui sebilah pisau sepanjang kira-kira 16 sentimeter serta dua telefon bimbit di dalam sebuah beg sandang dipercayai digunakan semasa kejadian berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Polis memandang serius sebarang bentuk ugutan dan pemerasan, khususnya melibatkan ancaman penyebaran bahan peribadi dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya. – Info X