Search

Bot pam bawa 2,000 liter petrol tanpa kebenaran dirampas

February 2, 2026

Info X Reporters

KUDAT: Tindakan mencurigakan sebuah bot pam yang ditinggalkan di perairan Damaran, Pulau Banggi membawa kepada rampasan kira-kira 2,000 liter petrol tanpa dokumen sah oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Pengarah APMM Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, rampasan itu dibuat hasil maklumat risikan sebelum sepasukan bot peronda APMM digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.

“Sebaik pasukan operasi tiba, bot pam berkenaan didapati ditinggalkan tanpa pengendali dipercayai telah melarikan diri bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu membawa beberapa tong drum berwarna biru yang mengandungi petrol tanpa sebarang dokumen kebenaran, dengan jumlah muatan dianggarkan kira-kira 2,000 liter dan nilai rampasan sekitar RM5,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bot pam bersama muatan bahan api berkenaan kemudian dibawa ke jeti APMM untuk tindakan lanjut dan siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki membawa serta menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Hasbullah menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan dan akan terus memperketat kawalan serta pemantauan di perairan Kudat dan Pulau Banggi bagi mengekang aktiviti menyalahi undang-undang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau penyeludupan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya. – Info X