Search

Kerajaan rancang bina SMAN berkonsep AI, perkukuh pendidikan Islam

February 2, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Kerajaan negeri merancang membangunkan sebuah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) berkonsepkan kecerdasan buatan (AI) bersebelah Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung, di sini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, ia sebagai langkah strategik memperkasa pendidikan Islam yang seimbang antara kekuatan rohani, ilmu dan kemajuan teknologi.

Katanya, perancangan itu melibatkan baki tanah seluas 20 ekar di kawasan SAN Apas Balung dan akan diselaraskan melalui kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Beliau berkata, komitmen itu mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menyokong usaha pemerkasaan pendidikan Islam dan pembangunan institusi agama secara berterusan.

“Kerajaan Negeri akan terus komited menyokong usaha-usaha pemerkasaan pendidikan Islam dan pembangunan institusi agama melalui kerjasama pelbagai pihak,” katanya ketika merasmikan Majlis Ihya Ramadhan-Malam Mencari Kekasih di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, pada Ahad.

Hajiji menegaskan, kekuatan sesebuah negeri tidak boleh diukur semata-mata melalui pembangunan fizikal, bangunan tinggi atau pencapaian ekonomi, sebaliknya perlu berpaksikan kepada akhlak rakyat, kekuatan iman dan kesuburan ilmu yang berteraskan nilai agama.

Jelasnya, pembangunan pendidikan Islam bukan sekadar penyediaan infrastruktur tetapi pelaburan jangka panjang dalam pembinaan modal insan yang seimbang dari segi rohani, intelek dan sahsiah.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri memberi perhatian serius terhadap pembangunan SAN sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

Hajiji berkata, usaha berkenaan selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras utama kemajuan negeri.

Terdahulu, beliau turut melawat dan merasmikan SAN Apas Balung yang mencatat sejarah tersendiri sebagai SAN pertama di Malaysia di bawah kelolaan JHEAINS yang memperkenalkan pendekatan pembelajaran berasaskan AI.

Katanya, inisiatif itu diperkukuh dengan pemasangan kemudahan Smart White Board di bilik darjah bagi menyokong kaedah pengajaran yang lebih interaktif, dinamik dan selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21.

Beliau menegaskan pendekatan berkenaan membuktikan pendidikan agama tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi, malah mampu bergerak seiring dengan inovasi semasa tanpa mengorbankan nilai adab, akhlak dan jati diri Islam.

“Di sinilah anak-anak kita bukan sahaja diasuh dengan ilmu agama dan al-Quran tetapi turut dipersiapkan dengan kemahiran teknologi serta pemikiran kritis untuk menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Hajiji berkata, pembangunan negeri yang mampan perlu berpaksikan keseimbangan antara kemajuan material dan kekuatan rohani bagi menjamin kestabilan sosial, keharmonian masyarakat serta kemajuan Sabah secara menyeluruh.

Pada masa sama, beliau mengajak umat Islam menjadikan bulan Ramadan yang bakal tiba sebagai medan muhasabah diri dan titik perubahan untuk meningkatkan amal ibadat kepada Allah SWT. – Info X