Search

Suspek pecah kedai dobi diberkas, syabu dan senjata tajam dirampas

February 3, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Kegiatan seorang lelaki yang aktif memecah masuk kedai dobi sekitar daerah ini berakhir apabila dia berjaya diberkas polis dalam satu serbuan awal pagi tadi.

Suspek berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 pagi di Bandar Leila, hasil maklumat awam yang membawa sepasukan anggota polis dari Balai Polis Sandakan ke lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, ketika tangkapan dilakukan, polis turut menemui senjata tajam serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemukan wang tunai dan dadah jenis syabu yang berada dalam simpanan suspek.

“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit disyaki terlibat dengan beberapa kes pecah kedai dobi di sekitar daerah Sandakan.

Barang rampasan susulan penahan suspek yang disyaki terbabit kes pecah masuk kedai dobi di Sandakan.

“Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, beliau menegaskan polis akan terus komited membanteras jenayah harta benda bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di daerah Sandakan sentiasa terpelihara. – Info X