KOTA KINABALU: Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak pernah berdepan sebarang masalah disiplin ketika di Sekolah Agama Negeri (SAN) Kampung Naluyan Sipitang.
Perkara itu disahkan bekas usatazahnya, Nur Ain Jabah, 38, yang memberi keterangan sebagai saksi ke-63 inkues kematian arwah Zara di Mahkamah Koroner, di sini, pada Selasa.
Beliau bagaimanapun mengakui arwah bersama beberapa pelajar sekelas pernah diadu membuat ‘barcode’ ketika berada di Tahun Lima.
Namun, jelasnya isu itu selesai setelah beliau memarahi pelajar terbabit dan mengingatkan mereka supaya tidak mengulanginya dan tidak lagi berlaku selepas itu.
“Saya tahu ini sebab arwah Zara dan rakan lain pernah buat di sekolah dan ada pelajar lain mengadu dengan saya.
“Jadi, saya sendiri datang ke kelas mereka dan tengok, saya memang marah, mereka kata ‘inikan trend dalam TikTok’, tapi saya kata jangan buat dan jangan diulang.
“Selepas itu tidak berlaku lagi kes itu dan ia terhenti di situ,” katanya.
Beliau sebelum itu ditanya peguam ibu arwah Zara, Shahlan Jufri sama ada tahu mengenai perkara berkenaan.
Nur Ain yang mengajar di SAN Naluyan sejak Julai 2023 berkata seramai lapan pelajar dikesan terbabit dengan isu ‘barcode’ itu yang semuanya di tahun lima, bersama-sama dengan arwah Zara.
Sementara itu, beliau menyifatkan arwah Zara seorang murid yang suka menegur guru dan bercerita menjadikan suasana kelas dan sekolah sentiasa ceria sepanjang dia bersekolah di SAN Naluyan.
“Dia memang suka bercerita dengan kami, tapi bukan cerita yang tidak baik dan dia juga jenis yang suka bercakap dan bermain dengan kawan apabila di kelas,” katanya. – Info X