KOTA KINABALU: Seorang pelajar yang berdepan pertuduhan di Mahkamah Kanak-Kanak berkaitan insiden menimpa Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak pernah menuduh atau mengesyaki arwah Zara mencuri barangan miliknya.
Ibu pelajar berkenaan yang memberi keterangan sebagai saksi ke-62 pada inkues kematian arwah Zara di Mahkamah Koroner, di sini, pada Selasa menjelaskan perkara itu selepas ditanya peguam ibu arwah, Shahlan Jufri.
Pelajar terbabit yang dirujuk sebagai ‘A’ adalah antara lima pelajar yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak, selain turut menjadi saksi di Mahkamah Koroner dalam inkues kematian Zara.
Saksi membuat kesimpulan bahawa tuduhan itu yang disifatkannya sebagai fitnah berkemungkinan disebabkan keadaan arwah Zara yang didakwanya dikelilingi musuh yang menikam belakang.
“Tidak, dia menyatakan tidak syak Zara. Dia pernah cerita kepada saya tidak pernah syak Zara yang mencuri dan tidak pernah tuduh Zara yang curi sebab dia rapat dengan Zara.
“Tempoh masa itu, mereka berkawan baik, tapi Zara dikelilingi musuh yang menikam dari belakang, itu kesimpulan saya daripada cerita pelajar A,” katanya ketika menjawab soalan Shahlan pada prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Sebelum itu, Shahlan bertanya mengenai ‘spot check’ berikutan aduan kehilangan barang seorang pelajar di bilik asrama pada 14 Julai 2025, selain mengenai kehilangan dompet pelajar A.
Sementara itu, saksi berkenaan menyifatkan keterangan yang diberikan anaknya kepada polis sebelum ini sebagai ‘killer statement’ yang tidak boleh dinafikan dengan sewenang-wenangnya.
Perkara itu disebutnya selepas Shahlan meminta penjelasan berhubung jawapannya apabila ditanya bahawa mesej Whatsapp yang dihantar ibu arwah Zara adalah ‘diforwardkan’ dan bukan ditulis oleh ibu arwah sendiri.
Ia berkaitan hantaran mesej Whatsapp oleh ibu arwah Zara kepada saksi yang didakwanya meminta beliau membuat penafian terhadap kenyataan pelajar A yang didakwa ibu arwah diputar belit.
Dalam jawapannya, ibu pelajar A mempersoalkan tujuan ibu arwah menghantar mesej itu kepadanya yang dianggapnya lebih mempercayai pihak lain, sekali gus membahayakan anaknya.
Sebelum itu, Shahlan bertanya sama ada ibu pelajar A kurang memahami mesej dihantar ibu Zara sebelum ini yang hanya mahu ibu pelajar A membuat penafian dengan membuat laporan polis jika benar keterangan anaknya diputar belit.
Ia berkaitan keterangan anaknya yang ada menyebut bahawa arwah Zara pernah memberitahunya ingin membunuh diri.
Bagaimanapun, saksi bertegas memahami maksud mesej ibu arwah itu sebagai memintanya membuat penafian terhadap kenyataan anaknya dan beliau enggan melakukannya.
Saksi juga mendakwa ibu arwah marah kepadanya berdasarkan beberapa mesej Whatsapp yang dihantar ibu arwah selepas itu, namun tidak dibalasnya. – Info X