Search

Lelaki hilang ketika cari hasil hutan ditemui lemas di sungai

February 3, 2026

Info X Reporters

KIMANIS: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari hasil hutan berhampiran Kampung Mandugi, di sini, ditemui meninggal dunia akibat lemas di sungai, petang tadi.

Mangsa berusia 58 tahun ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama penduduk kampung jam 4.12 petang di kawasan sungai, kira-kira 300 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 10.02 pagi bagi membantu mencari mangsa yang dipercayai hilang di kawasan hutan Kampung Mandugi.

“Menurut laporan PDRM, mangsa keluar dari rumahnya di Kampung Langkawit, Papar pada 1 Februari lalu kira-kira jam 3 petang untuk berjumpa rakannya di Kampung Mandugi.

“Mangsa kemudian dipercayai masuk ke kawasan hutan berhampiran bagi mencari hasil hutan, namun tidak pulang ke rumah sehingga laporan kehilangan dibuat kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR dimulakan pada jam 12.21 tengah hari dengan penglibatan 10 anggota bomba bersama PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan kira-kira 25 orang penduduk kampung.

Pasukan keselamatan mengangkat mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis. – Info X

“Operasi pencarian dibahagikan kepada empat sektor iaitu kawasan kampung, kebun, sungai dan hutan, dengan bantuan unit dron PDRM bagi mempercepatkan usaha mengesan mangsa.

“Mangsa berjaya ditemui di kawasan sungai (section C) oleh pasukan penyelamat bersama penduduk kampung, pada jarak kira-kira 300 meter dari PKB,” katanya.

Menurutnya, selepas mangsa ditemui di sektor sungai, mayat dibawa keluar menggunakan bot penduduk kampung sebelum diusung ke PKB menggunakan pengusung (stretcher) oleh pasukan penyelamat.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak PDRM sebelum dibawa ke hospital untuk pengesahan kematian serta proses bedah siasat.

“Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.26 petang,” katanya. – Info X