KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah (DVS Sabah) merampas 27 tan paha ayam sejuk beku bernilai RM268,410 menerusi satu operasi di Pelabuhan Sepanggar dan Inanam Laut, di sini, baru-baru ini.
Pengarah DVS Sabah, Dr Zul Bahar, berkata rampasan dilakukan penguatkuasa DVS setelah risikan dan pemeriksaan mendapati produk import itu tidak mempunyai permit yang sah dari jabatan berkenaan.
Katanya, operasi pada 30 Januari lalu itu yang diketuai DVS Kota Kinabalu membabitkan pemeriksaan sebuah kontena 40 kaki di Pelabuhan Sepanggar sebelum tindakan susulan diambil di sebuah premis bilik sejuk beku di Kampung Inanam Laut.
“Pemeriksaan mendapati pemilik gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen import yang dikeluarkan oleh DVS.
“Susulan itu, tindakan sitaan diambil ke atas 27,000 kilogram (kg) produk paha ayam sejuk beku dengan nilai anggaran RM268,410, selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, operasi itu dilaksanakan secara terancang dan berperingkat berdasarkan maklumat risikan sebelum serbuan dilakukan di lokasi yang dikenal pasti.

“Operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama antara Unit Penguatkuasaan DVS Wilayah Kota Kinabalu, Unit Pemeriksa Veterinar dan Unit Kuarantin DVS KKIA Kargo, selaras dengan komitmen berterusan DVS Sabah dalam memperkukuh keselamatan makanan dan biosekuriti negeri,” katanya.
Operasi itu, katanya mendapat kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“DVS Sabah berterima kasih kepada semua yang terbabit dalam operasi ini. Sinergi antara agensi inilah yang membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan berkesan dan berintegriti,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, menzahirkan penghargaan kepada pasukan DVS Sabah atas kejayaan operasi itu.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada DVS Sabah atas tindakan pantas, berkesan dan profesional dalam melindungi keselamatan makanan serta kepentingan rakyat Sabah.
“Kerajaan negeri memandang serius sebarang cubaan membawa masuk produk makanan tanpa kelulusan yang sah kerana ia boleh menjejaskan kesihatan awam, biosekuriti serta kepercayaan rakyat terhadap sistem kawalan makanan negara.
“Operasi ini jelas membuktikan ketegasan dan komitmen berterusan Sabah dalam memastikan hanya produk yang mematuhi piawaian dan undang-undang dibenarkan berada di pasaran,” katanya. – Info X