LABUAN: Bekas Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Labuan pada Khamis atas satu pertuduhan membabitkan rasuah berjumlah RM10,000 yang didakwa berlaku pada Mei 2020.
Tertuduh, Ismaidi Ismail, 56, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elsie Primus.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Ismaidi sebagai seorang penjawat awam iaitu Pengarah JBPM Wilayah Persekutuan Labuan didakwa menerima suapan dalam bentuk wang tunai berjumlah RM10,000.
Suapan itu didakwa diterima daripada sebuah syarikat yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi di JBPM Labuan.
Kejadian didakwa berlaku sekitar Mei 2020 ketika kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kuarters JBPM Labuan membabitkan syarikat berkenaan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan RM10,000 sebagai deposit dan seorang penjamin.
Tertuduh turut diperintah melaporkan diri di Pejabat SPRM terdekat setiap dua bulan sekali.
Mahkamah menetapkan 13 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, PPs Joe Randy Juster, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X