Search

KES COVID-19 DI SABAH TERUS MENINGKAT, JANGAN LALAI PATUHI SOP, KATA MASIDI

June 18, 2022

admin

KOTA KINABALU: Jumlah kes Covid-19 di Sabah terus meningkat apabila sebanyak 127 kes baharu dicatatkan, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah berkenaan meningkat 12 kes berbanding semalam yang mencatat 115 kes.

Katanya, Penampang mencatatkan jangkitan empat kali ganda berbanding angka semalam iaitu daripada 12 kes kepada 48 kes.

“Ini merupakan pertambahan 36 kes dalam tempoh 24 jam dan menjadi penyumbang utama kepada pertambahan jumlah jangkitan baharu di Sabah. 

“Sebanyak 13 daerah mencatatkan sekurang-kurangnya satu jangkitan baharu sementara jumlah daerah yang tidak mencatat sebarang jangkitan kekal 12 daerah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, secara keseluruhan jumlah daerah yang mencatatkan penurunan kes berbanding daerah yang mencatatkan jumlah kes lebih tinggi adalah seimbang.

Katanya, Kota Kinabalu masih mencatatkan jangkitan baharu dua angka dengan 32 kes, menurun sembilan kes berbanding sebelumnya.

“Putatan juga mencatatkan penurunan sebanyak sembilan kes dan Beaufort berkurangan sebanyak lapan kes berbanding angka semalam,” katanya.

Beliau berkata, dengan pertambahan kes harian di beberapa daerah khususnya di daerah-daerah yang padat dengan penduduk, peratusan pesakit kontak rapat juga mulai bertambah.

Katanya, 10 daripada 32 kes baharu di Kota Kinabalu merupakan kontak rapat dan 50 peratus daripada kes hari ini di Penampang adalah kontak rapat.

“Jumlah ini dijangka bertambah secara berganda setiap hari (kesan multiplier) sekiranya lebih ramai orang terdedah kepada pembawa (pesakit) virus Covid-19.

“Dengan mengambilkira perkembangan semasa angka Covid-19 di negeri ini, amatlah disarankan agar masyarakat mematuhi semua SOP (Prosedur Operasi Standard) yang berkuatkuasa bagi mengelak jangkitan virus ini.

“Trend semasa menunjukkan peningkatan jangkitan harian dan rakyat adalah diseru agar tidak lalai daripada mematuhi semua SOP khususnya semasa berada di tempat-tempat yang sesak,” katanya.

Tambah Masidi, sebanyak 125 daripada 127 kes hari ini adalah dalam kategori 1 dan 2, serta dua kes dalam Kategori 5. – Info X