Search

PADAH CUBA RASUAH POLIS, DUA LELAKI DITAHAN

June 19, 2022

admin

KOTA KINABALU: Polis menahan dua lelaki yang cuba memberi rasuah supaya dilepaskan selepas mereka melanggar peraturan jalan raya dalam kejadian di Bulatan Yayasan Sabah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, kedua-dua lelaki terbabit yang menaiki Proton Wira pada awalnya ditahan selepas didapati cuba membuat pusingan secara melawan arus.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil pemeriksaan, suspek didapati memandu tanpa lesen dan tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, kedua-dua suspek kemudiannya cuba memberi suapan wang tunai sebanyak RM650 kepada pegawai polis supaya tidak diambil tindakan.

“Pegawai polis bertindak merampas wang tunai yang cuba disogokkan berkenaan dan terus menahan kedua-dua suspek.

“Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kedua-dua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, wang tunai yang dirampas terus diserahkan kepada pihak SPRM untuk tindakan selanjutnya. – Info X