KOTA KINABALU: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah pada Ahad meluahkan permintaan mereka kepada kerajaan Persekutuan supaya mematuhi garis masa ditetapkan Mahkamah Tinggi pada tahun lalu berhubung pengembalian hasil cukai bersih 40 peratus kepada Sabah.
Perkara itu disuarakan pemimpin PKR, DAP dan AMANAH Sabah pada mesyuarat PH Sabah yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapa Sakmud.
Mustapha yang baru dilantik sebagai Pengerusi PH Sabah, berkata pemimpin gabungan itu di negeri ini mahu isu berkenaan diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan dalam perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Susulan itu, katanya beliau akan membawa luahan hati pemimpin PH Sabah ke Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dan Mesyuarat Kabinet Persekutuan dalam masa terdekat.
“Kita bincang dengan panjang lebar isu berkaitan MA63, khususnya 40 peratus dan saya dengar luahan pimpinan parti yang begitu prihatin terhadap isu ini dan minta supaya isu ini dapat diselesaikan mengikut garis masa yang telah dibuat oleh pihak mahkamah.
“Saya mendengar sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang ditugas khusus sebagai urusetia Majlis Tindakan MA63 akan bawa luahan hati ini kepada jawatankuasa teknikal dan juga Mesyuarat Kabinet yang akan datang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu antara lain memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melebihi kuasa perlembagaannya apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Berikutan itu mahkamah memerintahkan supaya semakan mengenai perkara itu mesti diadakan dalam tempoh 90 hari dan satu persetujuan mesti dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.
Mustapha berkata bagi memantapkan lagi proses perundingan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63, Kabinet Persekutuan bersetuju melantik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Arthur. Joseph Kurup ke dalam jawatankuasa MTPMA63 peringkat induk.
“Satu mesyuarat jawatankuasa teknikal akan dibuat pada 23 Februari ini membabitkan wakil Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof,” katanya.
Mengenai ‘lost years’ yang merujuk kepada ketiadaan bayaran khas atau 40 peratus hasil negeri oleh kerajaan Persekutuan kepada kepada Sabah dari 1974 hingga 2021, Mustapha berkata pihaknya akan mendapatkan perkembangan mengenai perkara itu dari Kementerian Kewangan.
“Kita akan kemaskini dengan Kementerian Kewangan dan kita akan dengar laporan mereka untuk perbincangan seterusnya.
“Apa berlaku sekarang, setakat ini sudah ada dua mesyuarat peringkat jawatankuasa dipengerusikan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah an Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk bincang isu ini dan mereka membentuk satu jawatankuasa khas bincang perkara berkaitan termasuk ‘lost years’ dan kita akan dengar daripada mereka nanti,” katanya. – Info X