KOTA KINABALU: Saman Warisan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Hassan A Gani yang mengumumkan keluar dari parti itu, tahun lalu, ditolak Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Saman yang dikemukakan itu adalah bagi mendesak Hassan meletak jawatan sebagai ADUN susulan tindakannya keluar Warisan pada 25 Feb tahun lalu.
Dalam keputusannya, Hakim Wong Siong Tung berkata, seorang wakil rakyat boleh bertindak atas pertimbangannya sendiri dan tidak boleh dihalang secara sah oleh parti atau pengundi.
Katanya, surat peletakan jawatan dan ikrar taat setia yang ditandangani kepada Warisan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 adalah satu skim yang tidak terpakai dalam undang-undang.
“Seseorang wakil rakyat yang dipilih harus bebas untuk bertindak mengikut kemampuannya yang dirasakan terbaik serta tidak seharusnya dikekang oleh undang-undang sama ada kepada partinya atau kepada pengundi atau tertakluk kepada arahan sesiapa sahaja.
“Sebarang pengaturan yang boleh melucutkan kebebasan wakil rakyat yang dipilih itu akan bertentangan dengan dasar awam dan menyalahi undang-undang.
“Hukuman yang sewajarnya bagi wakil rakyat yang dipilih kerana mungkir janji politik adalah pengundi atau pemilih berpeluang mempertimbangkan sama ada untuk mengundi pihak lain pada peluang (pilihan raya) akan datang,” katanya.
Wong turut mengarahkan Warisan yang diwakili sendiri oleh Setiausaha Agungnya, Loretto Padua supaya membayar dengan kos RM5,000 kepada Hassan selalu defendan. – Info X