KOTA KINABALU: Seramai 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Sapu dan Ops Kutip yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah sekitar bandar raya ini, pada Selasa hingga semalam.
Sepanjang operasi dua hari itu, seramai 24 pegawai Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat JIM Kota Kinabalu digerakkan untuk menjalankan pemeriksaan di beberapa lokasi panas sekitar bandar raya ini.
Menerusi kenyataan di Facebook (FB) rasmi jabatan itu hari ini, seramai 72 individu terdiri daripada warganegara Indonesia dan Filipina diperiksa dalam operasi berkenaan.
“Daripada jumlah itu, 44 individu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Antara yang ditahan ialah dua warganegara Indonesia membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita dewasa.
“Selebihnya adalah warganegara Filipina iaitu lapan lelaki dewasa, 12 wanita dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan 13 kanak-kanak perempuan.
“Semua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen untuk siasatan lanjut serta tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu.
JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat secara konsisten dan tanpa kompromi bagi membanteras kebanjiran PATI di negeri ini.
Menurut kenyataan itu lagi, sebarang pelanggaran terhadap Akta Imigresen 1959/63 akan dikenakan tindakan tegas sebagai manifestasi komitmen jabatan dalam memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kesejahteraan rakyat Sabah terus terpelihara. – Info X