KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan seorang wanita yang mayatnya dikerat sebelum dibuang di beberapa lokasi awal bulan ini, dijangka dituduh di mahkamah, di sini, esok.
Suspek berkenaan yang sebelum ini ditahan reman dijangka dibawa ke mahkamah untuk mendengar pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perkara itu disahkan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika ditanya mengenai perkembangan kes berkenaan.
Katanya, kertas siasatan mengenai kes itu sudah dilengkapkan sebelum arahan pertuduhan dikeluarkan.
“Esok kita akan tuduh suspek di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, tiga lagi individu yang juga anak suspek utama mungkin dijadikan saksi pendakwaan dalam kes berkenaan.
Dalam kejadian pada 12 Februari lalu, seorang wanita ditemukan maut dalam keadaan anggota tubuhnya dikerat kepada beberapa bahagian sebelum dibuang di beberapa lokasi sekitar Indah Permai, Sepanggar, dekat sini.
Pembunuhan itu terbongkar kira-kira jam 6.30 pagi apabila seorang pekerja lori sampah menemukan anggota badan manusia ketika menjalankan tugas rutin.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an kurang 24 jam selepas penemuan mayat mangsa, sebelum beberapa tangkapan susulan dilakukan bagi membantu siasatan. – Info X