KOTA KINABALU: Banjir besar yang melanda Sabah pada Februari lalu sehingga menyebabkan beberapa daerah diisytiharkan sebagai kawasan bencana dan ribuan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) perlu ditangani sebagai ancaman utama negeri ini.
Pengarah Komunikasi Strategik Parti Warisan, Christopher Masudal, berkata kejadian berulang itu bukan sahaja menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan rakyat, malah mengakibatkan kemusnahan harta benda dan gangguan serius terhadap aktiviti ekonomi negeri.
Beliau berkata, pada Januari lalu pihaknya telah mengesyorkan kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri agar banjir diisytiharkan sebagai ancaman nombor satu kepada Sabah, mengambil kira kemusnahan berulang serta kerugian ekonomi yang mencecah ratusan juta ringgit setiap tahun susulan perubahan cuaca yang semakin ekstrem.
“Saya tidak pasti sama ada syor itu diberi perhatian sewajarnya, namun perkara ini wajar dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri pada mesyuarat akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kepimpinan negeri tidak boleh terus menyalahkan faktor jumlah hujan tinggi atau fenomena air pasang sebagai punca utama kejadian banjir besar yang semakin kerap berlaku.
Katanya, alasan sama telah digunakan sejak sedekad lalu dan menjadi tanggungjawab kerajaan hari ini untuk merangka serta melaksanakan pelan mitigasi banjir yang benar-benar berkesan, komprehensif dan berimpak jangka panjang.
Christopher berkata, pelan mitigasi itu tidak boleh disediakan secara silo oleh kementerian atau jabatan tertentu sahaja, sebaliknya mesti dirangka secara inklusif melalui proses libat urus melibatkan persatuan geologi, persatuan jurutera, universiti awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik serta komuniti setempat yang terkesan.
“Suara penduduk kampung yang saban tahun berhadapan dengan banjir perlu diberi perhatian serius dalam proses perancangan dasar,” katanya.
Beliau turut merujuk dakwaan penduduk kampung bahawa banjir besar di kawasan mereka berpunca daripada aktiviti pembersihan bukit bagi tujuan pembalakan dan pembangunan.
Sehubungan itu, beliau menggesa siasatan menyeluruh dilakukan bagi memastikan punca sebenar dikenal pasti dan risiko banjir berulang dapat ditangani.
Dalam masa sama, beliau berkata Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang baru dilafazkan Ketua Menteri dan anggota Kabinet Negeri perlu diterjemahkan melalui tindakan konkrit, termasuk meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sekiranya terdapat dakwaan salah guna kuasa membabitkan pegawai kerajaan negeri, ahli politik atau syarikat tertentu dalam aktiviti pembangunan yang berpotensi menyumbang kepada kejadian banjir.
Menurutnya, dakwaan penduduk kampung juga menjadi antara sebab Warisan bertegas untuk menubuhkan Jawatankuasa Ombudmen Negeri bagi mendengar dan menyiasat aduan terhadap sebarang keputusan atau tindakan pegawai kerajaan negeri yang mungkin menjejaskan kepentingan rakyat.
“Mekanisme semak dan imbang yang bebas amat penting bagi memastikan ketelusan serta akauntabiliti pentadbiran negeri,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan ketiadaan lawatan rasmi kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan ke kawasan terjejas dalam tempoh dua minggu selepas bencana berlaku, bagi meninjau sendiri keadaan rakyat serta memberi jaminan bantuan kewangan untuk pemulihan infrastruktur dan membantu mangsa.
Katanya, banjir yang melanda Sabah mendapat liputan meluas media nasional, justeru ketiadaan kunjungan tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat.
Christopher berkata Sabah berhak menerima layanan adil dan perhatian segera daripada Kerajaan Persekutuan, terutama ketika rakyat berdepan bencana alam.
Beliau turut menegaskan Sabah mampu berdepan musibah besar dengan keupayaan sendiri, sebagaimana tindakan pantas Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ketika pandemik Covid-19 melanda negeri ini tanpa menunggu arahan Kerajaan Persekutuan yang ketika itu diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, Sabah perlu beralih daripada pendekatan pengurusan krisis kepada pencegahan strategik bagi memastikan pembangunan dan ekonomi negeri tidak terus terjejas akibat bencana berulang.
“Warisan akan terus memperjuangkan dasar yang berteraskan kepentingan rakyat Sabah, memastikan keselamatan mereka diutamakan serta menuntut pentadbiran yang telus, bertanggungjawab dan berani melakukan pembaharuan demi masa depan negeri ini,” katanya. – Info X