KOTA KINABALU: Queenera Francine Kitingan atau lebih dikenali sebagai Nera kembali dengan single terbaharu bertajuk ‘Nikmat’ yang mana klip videonya kini sudah boleh ditonton menerusi saluran YouTube.
Pelancarannya lagu ciptaan komposer tempatan terkenal iaitu Jun itu berlangsung meriah di Crooners Bar and Karaoke, di sini, malam tadi.
Berbeza dengan lagu-lagunya sebelum ini, Nera akui lagu ‘Nikmat’ yang berentak ‘Bossa Jazz’ agak mencabar baginya namun cabaran itu berakhir dengan kepuasan apabila hasilnya disifatkannya sebagai ‘menakjubkan’.
“Lagu ‘Nikmat’ juga sebenarnya sangat bererti bagi saya, kita telah melalui pelbagai cabaran dalam hidup sebelum ini dan lagu ini juga memberikan saya semangat.
“Selain itu, lagu ini juga adalah untuk saya hargai kehidupan,” katanya yang juga penyampai di stesen radio popular di Sabah, Kupikupi FM.

Bekas peserta Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) itu berkata, dia sangat tertarik dengan susunan lagu dan melodi yang diilhamkan oleh Jun itu.
“Melodinya kena dengan hati saya dan liriknya pun ‘wow’…saya harap para peminat muzik di luar sana akan dapat menerima single terbaharu saya ini.
“Memang saya akui ianya satu risiko apabila mengeluarkan single yang berentak ‘Bossa Jazz’ kerana ia berbeza dengan lagu-lagu lain saya sebelum ini.
“Bagaimanapun, saya seorang yang sangat sukakan cabaran dan sukakan sesuatu yang baru, semoga lagu ini mampu menghiburkan anda semua di luar sana dan juga dapat memberi ilham atau inspirasi kepada anda,” katanya.
Sementara itu, Jun berkata, lagu ‘Nikmat’ sangat istimewa kerana lagunya dicipta menggunakan sentuhan instrumen ‘original’ tanpa menggunakan ‘programming’.
Nera yang kini berusia 30 tahun sebelum ini telah mengeluarkan banyak single antaranya ‘Seandainya’ yang dikeluarkan pada 2019, Angle in Heaven (2020), dan Koposizon Diti yang dicipta Anna Stabislaus pada tahun lalu.
Terdahulu, majlis pelancaran semalam turut dihadiri ahli keluarga Nera, rakan-rakannya, rakan artis, rakan media serta ‘keluarga besar’ Nera di Kupikupi FM.

Lagu ‘Nikmat’ mula ditayangkan sejak jam 12 tengah hari tadi di laman YouTube menerusi saluran Queennera Music. – Info X