Search

DUA WARGA ASING MAUT DITETAK

June 27, 2022

admin

SEMPORNA: Dua lelaki warga asing maut selepas ditetak dalam satu pergaduhan di kawasan berhampiran sebuah gereja, di Ladang Pinang, Kalumpang, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa yang maut berusia 52 dan 57 tahun manakala suspek yang berjaya ditahan selepas pergaduhan itu berusia 29 tahun.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas berlalu perselisihan antara salah seorang mangsa dengan suspek manakala seorang lagi mangsa dikatakan cuba meleraikan pergaduhan itu.

Berikutan itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian tangan, tengkuk, leher dan kepala selepas ditetak menggunakan parang.

Ketua Polis Daerah Semporna, Mohd Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, polis menerima laporan berhubung insiden itu pada jam 6.21 petang sebelum mengerahkan sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek warga asing terbabit sudah ditahan berhampiran kawasan klinik milik ladang berkenaan.

“Suspek kemudiannya menyerah diri selepas berjaya dipujuk anggota polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mohd Farhan berkata, siasatan di lokasi kejadian turut berjaya menemui senjata parang yang digunakan suspek.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa sudah dihantar ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat bagi membantu siasatan selanjutnya.

“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 3 Jul depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – Info X