KOTA BELUD: Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU) menyita sebuah ekskavator dan lori dalam satu operasi penguatkuasaan terhadap aktiviti pengorekan serta pengambilan pasir darat secara haram di Kampung Pintasan, di sini, pada 5 Mac lalu.
Pengarah JTU, Chua Ming Ling @ Alan, berkata operasi itu dilaksanakan selepas pasukan penguatkuasa menjalankan risikan dan intipan selama kira-kira seminggu susulan maklumat mengenai kegiatan pengambilan pasir secara haram di kawasan berkenaan.
Katanya, pasukan penguatkuasa JTU melancarkan serbuan pada kira-kira jam 9.45 pagi pada 5 Mac lalu di lokasi yang dikenal pasti.
“Hasil serbuan itu, pihak jabatan telah menyita sebuah ekskavator jenis CAT dan sebuah lori Nissan 13 tan yang membawa muatan pasir darat.
“Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana individu yang berada di lokasi kejadian sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat berhubung operasi itu dan Kertas Siasatan (IP) akan dibuka oleh Unit Siasatan Bahagian Penguatkuasa bagi melengkapkan siasatan.
“Tindakan selanjutnya akan diambil mengikut peruntukan di bawah Ordinan Tanah Sabah (Bab 68),” katanya.
Katanya, kejayaan operasi itu adalah hasil kerjasama di antara pasukan penguatkuasa JTU, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemimpin masyarakat Kota Belud dan maklumat daripada orang awam.
Jelasnya, JTU akan terus mempergiatkan pemantauan dan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti pengambilan tanah, pasir atau batu secara haram di seluruh Sabah.
“JTU Sabah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pengusaha yang melanggar undang-undang di bawah Ordinan Tanah Sabah,” katanya. – Info X