Search

Skim harga maksimum Aidilfitri 2026 bermula 14 Mac

March 10, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026 selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac ini bagi memastikan harga barangan keperluan kekal terkawal sepanjang musim perayaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata tempoh pelaksanaan itu meliputi tujuh hari sebelum perayaan, sehari semasa Hari Raya Aidilfitri dan tujuh hari selepasnya.

Beliau berkata, sebanyak 27 jenis barangan dikenal pasti berada di bawah skim berkenaan pada tahun ini, meningkat berbanding 26 barangan yang dikawal pada pelaksanaan tahun 2025.

“Antara barangan yang dikawal termasuk bawang kuning besar, bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang putih dari China, cili kering keriting, cili merah, daging kerbau import, ikan kembung, ikan selayang, santan kelapa, kubis bulat import, lobak merah, timun dan tomato,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kacang dal dari Australia turut dimasukkan sebagai item tambahan dalam skim tahun ini.

Beliau berkata, bagi di Sabah, 12 barangan mencatatkan penurunan harga maksimum, manakala sembilan barangan kekal dan tiada barangan yang mengalami kenaikan harga maksimum.

Armizan berkata, penetapan harga maksimum dibuat berdasarkan analisis KPDN dengan mengambil kira harga di setiap peringkat rantaian bekalan termasuk kos import, harga ladang, harga pemborong serta trend harga di peringkat peruncit.

Bagi di Semenanjung Malaysia pula, katanya, harga maksimum bagi 13 jenis barangan menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu, antaranya daging kerbau import, sawi hijau, lobak merah, bawang kuning besar, bawang merah, bawang putih, ubi kentang, halia tua, cili kering keriting, kelapa biji, kelapa parut dan santan kelapa.

“Selain itu, harga maksimum bagi sembilan barangan dikekalkan, manakala hanya satu barangan iaitu cili merah mencatatkan kenaikan harga maksimum berbanding tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata, pegawai penguat kuasa kementerian akan ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan.

“Peniaga juga diwajibkan menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan yang dikawal sepanjang tempoh pelaksanaan skim,” katanya.

Menurutnya, mana-mana peniaga yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Orang ramai yang mempunyai aduan berkaitan boleh menyalurkannya melalui WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800, laman web e-aduan KPDN atau aplikasi Ez ADU KPDN.

Selain itu, sempena Aidilfitri tahun ini KPDN turut melaksanakan beberapa program kos sara hidup termasuk Program Jualan RAHMAH MADANI Aidilfitri dan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert, yang menawarkan diskaun servis kenderaan antara 10 hingga 30 peratus di 124 bengkel terpilih seluruh negara. – Info X