SANDAKAN: Kawasan tanah runtuh yang mengakibatkan seorang pekerja hotel maut selepas tertimbus tanah di sini, hari ini diisytiharkan sebagai kawasan bencana dan ditutup sementara kerana dibimbangi masih berlaku pergerakan tanah.
Ia merangkumi tiga blok bangunan termasuk sebuah hotel tiga tingkat dengan jumlah keseluruhan yang terjejas iaitu 32 unit kedai dan rumah, selepas berlaku runtuhan tanah dengan sebatang pokok dianggarkan berusia 30 tahun menghempap bangunan terbabit.
Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan, Walter Kenson, berkata keputusan itu diambil selepas pemerhatian awal mendapati keadaan cerun di belakang bangunan masih tidak stabil dan berpotensi menyebabkan runtuhan susulan.
Katanya, penutupan kawasan itu juga bagi membolehkan kajian terperinci mengenai keadaan bentuk muka bumi dan kestabilan cerun dilakukan.
“Buat masa ini, kawasan itu kita tutup dan isytiharkan sebagai kawasan bencana kerana masih berlaku pergerakan tanah di belakang blok bangunan.
“Kebanyakan bangunan lama di pusat bandar Sandakan dibina sekitar tahun 1950-an dan 1970-an dan terletak di lereng bukit.
“Insiden seperti ini jarang berlaku, namun sejak kebelakangan ini beberapa kes pergerakan tanah dilaporkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaaan di Lebuh 4, pusat bandar di sini, hari ini.
Walter berkata, beliau juga sudah mengarahkan Ketua Jurutera MPS untuk bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta mendapatkan khidmat jurutera perunding yang pakar dalam kajian cerun bagi mengkaji tahap keselamatan kawasan cerun.
Katanya, seramai 25 keluarga turut terjejas dalam insiden itu dan kini ditempatkan di Dewan Masyarakat Sandakan yang dibuka sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Pemantauan berterusan dilakukan kerana hujan masih berterusan dan boleh meningkatkan risiko pergerakan tanah. Setakat ini, sekurang-kurangnya empat kawasan di sekitar bandar dikenal pasti berisiko berlaku pergerakan tanah.
“Langkah segera akan diambil untuk menutup kawasan cerun yang terdedah sekali gus mengelak berlaku malapetaka seperti ini,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi tadi, seorang pekerja hotel maut tertimbus tanah runtuh ketika cuba menghidupkan set jana kuasa di belakang hotel berkenaan selepas bekalan elektrik terputus.
Selain itu, 20 kubur di Tanah Perkuburan Sim-Sim turut dilaporkan rosak akibat tanah runtuh susulan hujan berterusan sejak semalam. – Info X