KOTA KINABALU: Banjir di Kota Marudu dan Pitas dilapor beransur pulih pada Rabu dengan semua mangsa yang dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) dibenarkan pulang petang ini.
Hanya di Paitan keadaan banjir dilapor belum pulih dengan jumlah mangsa dipindahkan ke PPS menunjukkan sedikit peningkatan kepada 270 orang setakat jam 4 petang ini, berbanding 266 orang tengah hari tadi.
Mangsa yang ditempatkan di empat PPS sekitar daerah itu membabitkan penduduk di 26 kampung yang terjejas akibat banjir kali ini.
Sementara itu, laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Paitan menyatakan banjir kali kedua dalam tempoh kurang sebulan di daerah itu disebabkan hujan lebat berterusan sejak Isnin dan masih berterusan hingga Rabu.
Bencana banjir diisytihar jam 11 pagi pada 10 Mac di Paitan selepas ramai penduduk daerah itu terputus hubungan dan rumah mereka terjejas banjir, sekali gus memerlukan pemindahan ke PPS demi keselamatan. – Info X