KOTA KINABALU: Kecuaian pemandu kereta api (railbus) yang gagal menjalankan pemeriksaan jentera sebelum memulakan perjalanan dikenal pasti sebagai punca kemalangan kereta api di Tenom pada 3 Mac lalu.
Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) menerusi kenyataan pada Rabu, berkata ia hasil siasatan dalaman yang dijalankan Board of Enquiry (BOE) pada 9 Mac 2026 berhubung insiden perlanggaran Railbus RB8801 dengan motor troli di KM134/4.
Kenyataan itu menyebut pemandu juga tidak menutup ‘isolating valve’ pada Tenom End Driving Cab dan tidak menjalankan ujian dinamik bagi memastikan sistem brek berfungsi dengan baik.
“Kecuaian ini menyebabkan sistem brek Railbus RB8801 tidak berfungsi sepenuhnya, seterusnya mengakibatkan perlanggaran dengan motor troli,” katanya.
JKNS berkata, selepas Railbus berhenti di KM133/8, pemandu telah memeriksa dan membetulkan kedudukan isolating valve dan ujian pandu yang dijalankan selepas itu mendapati sistem brek berfungsi dengan baik, membolehkan Railbus kembali ke Stesen Tenom tanpa perlu diselamatkan atau ditarik oleh jentera lain.
“Pemeriksaan oleh Penolong Jurutera sejurus Railbus kembali ke stesen mengesahkan sistem brek beroperasi sepenuhnya,” katanya.
Perkhidmatan keretapi, katanya kembali normal pada 4 Mac 2026 menggunakan jentera yang sama dan sehingga kini Railbus RB8801 telah beroperasi tanpa sebarang masalah.
Jelasnya, siasatan BOE dijalankan secara menyeluruh meliputi laporan kejadian, keterangan kakitangan Bahagian Kejuruteraan Jentera, rakaman Digital Mobile Video Recorder (DMVR) pada jentera, serta pemeriksaan teknikal dan simulasi di lokasi kejadian.
“Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Siasatan Badan Penyiasatan Dalaman JKNS, tindakan tatatertib akan disyorkan terhadap pemandu mengikut Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (PPPANS) 2008 [Tatakelakuan Perkara 208(2)(j)] kerana cuai dalam menjalankan tugas.
“JKNS juga akan melaksanakan langkah penambahbaikan yang sewajarnya bagi memperkukuh prosedur operasi dan meningkatkan tahap pematuhan terhadap aspek keselamatan bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang.
“Keselamatan penumpang dan perkhidmatan keretapi sentiasa menjadi keutamaan Jabatan Keretapi Negeri Sabah,” katanya.
JKNS mengesahkan perkhidmatan keretapi yang beroperasi adalah selamat untuk digunakan oleh orang awam.
Selain itu, JKNS turut menjelaskan bahawa berdasarkan Enakmen Keretapi Negeri Sabah 2017, kawasan rezab keretapi adalah kawasan larangan.
“Sebarang aktiviti di kawasan landasan perlu mendapat kelulusan Menteri melalui syor Pengarah JKNS. Penggunaan motor troli yang dibina menggunakan motosikal di atas landasan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan dan boleh menyebabkan kerosakan rel serta menjejaskan keselamatan operasi keretapi,” katanya.
Insiden perlanggaran itu, katanya sudah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri pada 11 Mac 2026. – Info X