Search

Hina kitab suci perbuatan melampau, tidak bertamadun – Mustapha

March 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perbuatan menghina kitab suci al-Quran disifatkan sebagai perbuatan melampau, tidak bertamadun dan melanggar prinsip Rukun Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata ia adalah jenayah dan perbuatan yang kurang ajar lebih-lebih lagi ketika di bulan Ramadan.

Katanya, perbuatan itu bertentangan dengan budaya Sabah yang amat menjunjung keharmonian bermasyarakat dalam kepelbagaian kaum dan agama.

“Saya mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab menghina kitab suci umat Islam, al-Quran, sebagaimana yang tular di media sosial baru-baru ini yang memaparkan naskhah al-Quran didakwa dipijak dan diconteng dengan lukisan menghina.

“Perbuatan ini amat melampau, tidak bertamadun dan melanggar prinsip Rukun Negara. Ianya adalah jenayah dan perbuatan yang kurang ajar lebih-lebih lagi ketika kita berada dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

“Malah ianya bukan budaya Sabah yang amat menjunjung keharmonian bermasyarakat dalam kepelbagaian kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, sebarang bentuk penghinaan terhadap agama tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan saja menyentuh sensitiviti umat Islam, malah berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di Sabah dan seluruh negara.

Katanya, Malaysia dibina atas asas saling hormat-menghormati antara agama dan budaya yang mana bertentangan dengan perbuatan seumpama itu.

“Sehubungan itu, saya menyokong penuh tindakan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat.

“Tindakan tegas perlu diambil agar menjadi pengajaran dan memastikan maruah agama sentiasa terpelihara.

“Dalam masa yang sama, saya menyeru orang ramai agar tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang.

“Kepercayaan sepenuhnya harus diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus demi memastikan kestabilan, keharmonian serta perpaduan masyarakat di Sabah dan di seluruh negara terus terpelihara,” katanya. – Info X