TUARAN: Seorang lelaki warga emas melecur di bahagian tangan kanan selepas rumah didiaminya terbakar dalam kejadian di hadapan Tamparuli Point, Tamparuli, petang tadi.
Dalam kejadian itu, rumah jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 64 meter persegi dilaporkan terbakar sehingga 90 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong AK Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.21 petang sebelum sepasukan sembilan anggota bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 4.37 petang selepas menempuh jarak kira-kira 14 kilometer.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang terbakar kira-kira 90 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 122 meter dengan dua pancutan air daripada jentera serta Water Tanker.
Katanya, terdapat seorang mangsa lelaki berusia 67 tahun mengalami kecederaan melecur di bahagian tangan kanan dalam kejadian itu.
“Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Bomba sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.59 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.41 petang selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya. – Info X