Search

Kerajaan negeri fail bantahan penangguhan perintah mahkamah berkaitan hak 40 peratus

March 12, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memgemukakan bantahan terhadap permohonan difailkan Peguam Negara bagi mendapatkan penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025.

Ia berkaitan semakan dan penentuan hak negeri Sabah terhadap 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri ini sejak 1974 hingga 2021 (tahun-tahun yang hilang).

Perkara itu disahkan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah menerusi satu kenyataan media hari ini.

Menerusi kenyataan itu, Peguam Besar Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh, berkata Perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan semakan bersama Kerajaan Sabah bagi melaksanakan pemberian khas 40 peratus.

Keputusan itu, katanya selaras dengan kerangka perlembagaan bagi tahun-tahun yang hilang dan untuk mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari, iaitu selewat-lewatnya pada 15 April 2026.

“Sejak keputusan itu dikeluarkan, Kerajaan Negeri Sabah dengan sepenuhnya kekal komited mematuhi isi dan maksud keputusan Mahkamah Tinggi itu.

“Kerajaan Negeri Sabah secara konsisten turut terbabit dalam proses libat urus bersama pihak berkuasa Persekutuan yang berkaitan dan beberapa mesyuarat serta perbincangan teknikal diadakan bagi sesi bertukar maklumat, membuat pengesahan data serta pertimbangan terhadap kaedah-kaedah yang sesuai bagi menentukan jumlah Pemberian Khas 40 peratus kepada Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Sabah sudah melaksanakan semua sesi perbincangan itu secara konstruktif, telus dan dengan niat yang baik agar objektif untuk mencapai suatu penyelesaian yang adil, berprinsip serta boleh diterima secara bersama dalam tempoh masa ditetapkan Mahkamah Tinggi.

Justeru itu, katanya Kerajaan Sabah juga mengemukakan beberapa cadangan dan kerangka kerja bagi membantu pihak yang berkaitan untuk mencapai persetujuan bersama.

“Kerajaan Sabah tiada melakukan sebarang penangguhan kelewatan mahupun tidak memberi kerjasama dalam melaksanakan Perintah Mahkamah Tinggi. Sebaliknya, kerajaan negeri mengambil langkah yang aktif dan berterusan bagi memastikan proses diperintahkan Mahkamah Tinggi itu dapat dilaksanakan secara teratur dan produktif.

“Sehubungan dengan itu, Kerajaan Sabah kekal bersedia, bersetuju dan berkeupayaan untuk terus berunding dengan pihak Kerajaan Persekutuan secara konstruktif dengan tujuan mencapai suatu keputusan yang dipersetujui bersama selaras peruntukan Perlembagaan yang mengawal Pemberian Khas serta terma Perintah Mahkamah Tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Brenndon berkata Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan suatu mekanisme perlembagaan yang jelas sekiranya pihak-pihak gagal untuk mencapai persetujuan.

Peruntukan itu, katanya menghendaki pelantikan seorang penilai bebas, yang mana syor-syor yang dikemukakan berhubung perkara itu hendaklah mengikat kerajaan dan dilaksanakan seolah-olah syor itu sudah menjadi persetujuan.

“Jaminan perlembagaan ini memastikan proses semakan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dapat diselesaikan secara teratur walaupun tiada persetujuan bersama dapat dicapai.

“Memandangkan perbincangan masih berlangsung dan mengambil kira tempoh masa yang ditetapkan oleh mahkamah semakin hampir, Kerajaan Sabah berpendapat kedua-dua pihak perlu terus menumpukan perhatian serta mempergiatkan lagi usaha memenuhi terma Perintah Mahkamah Tinggi,” katanya.

Kedua-dua pihak juga katanya perlu bekerjasama untuk mencapai suatu penyelesaian yang adil dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah sentiasa mengambil langkah undang-undang yang sewajarnya bagi melindungi hak dan kepentingan Sabah.

“Dalam masa yang sama menyokong prinsip kedaulatan undang-undang, prinsip perlembagaan dan semangat kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah,” katanya. – Info X