KOTA KINABALU: Selepas keluar Warisan dan menyertai Bersatu pada November lalu, Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi, hari ini, mengumumkan keluar daripada parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas.
Mohamaddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama berkata, tindakan beliau keluar Bersatu adalah kerana tidak diberi apa-apa peranan dalam parti itu sejak menyertainya November lalu.
“Keputusan keluar daripada parti Bersatu ini saya buat kerana saya tidak diberi peranan seperti yang dijanjikan untuk memperkukuhkan parti tersebut sebelum ini.
“Saya telah dijanjikan peranan untuk memimpin parti di kawasan saya di parlimen Lahad Datu dan DUN (Dewan Undangan Negeri) segama namun setelah lebih enam bulan tiada sebarang peranan yang diberikan.
“Malahan saya dan penyokong-penyokong saya yang telah memberi kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 yang lalu dan parlimen Lahad Datu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) telah diketepikan dan jentera parti Bersatu di kawasan berkenaan menjalankan aktiviti tanpa pengetahuan saya,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada tindakannya keluar Bersatu selepas meninggalkan Warisan sebelum ini akan mencetuskan persepsi buruk rakyat terhadap beliau, Mohamaddin berkata beliau tidak bimbang dengan perkara itu.
“Banyak yang panggil katak, tapi kalau bertahan di situ duduk saja buat apa, bukan mau tunggu bertelur, kita sepatutnya bekerja untuk rakyat.
“Saya tidak bimbang dengan itu (persepsi buruk rakyat terhadapnya), panggil katak-katak lah, panggil monyet-monyet lah, saya tidak kisah,” katanya.
Mohamaddin yang juga bekas menteri pelancongan, seni dan budaya memenangi kerusi parlimen Lahad Datu dan DUN Segama atas tiket Warisan.
Bagaimanapun beliau mengumumkan keluar Warisan pada 30 Oktober lalu dan menyertai Bersatu pada 26 November. – Info X