Search

Warga emas maut, kereta terbabas dan terbalik dalam parit

March 27, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya terbabas dan terbalik ke dalam parit dalam kejadian di Kampung Langsat, Jalan Bukit Manggis, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.21 pagi itu, mangsa berusia 65 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.

Mangsa yang maut adalah pemandu kenderaan berkenaan bersama isterinya berusia 63 tahun dan anak lelaki berusia 41 tahun yang kedua-duanya dilaporkan cedera.

Ketika kejadian tiga beranak itu dalam perjalanan pulang dari gereja ke rumah mereka di Kampung Langsat, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan enam anggota bersama satu jentera FRT dan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 14 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Iswara yang terbabas dan terbalik ke dalam parit dengan tiga mangsa terlibat.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta selepas kemalangan membabitkan kenderaan yang terbabas dan terbalik di Papar.

“Seorang mangsa lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala dua lagi mangsa dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari kenderaan sebelum memberikan rawatan awal kepada mangsa.

“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.21 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” katanya. – Info X