Search

SIASAT TERPERINCI KES PENJUALAN DOKUMEN PENGENALAN PALSU KEPADA WARGA ASING – HAJIJI

June 30, 2022

admin

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa supaya menyiasat dengan lebih terperinci kes penjualan dokumen pengenalan palsu kepada warga asing susulan penahanan seorang ketua parti politik di Sabah yang disyaki terbabit.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata, kerajaan mengambil berat pendedahan itu dan berkata tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pihak yang terbabit mengeluarkan dokumen berkenaan.

“Jika didapati benar, suspek dan ahli sindiketnya mesti dikenakan tindakan undang-undang yang sekeras-kerasnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin mengenai penahanan dua individu termasuk seorang ketua parti politik mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada sidang media, hari ini.

Dalam sidang media di Bukit Aman itu, Hamzah mendedahkan polis menahan dua lelaki termasuk presiden sebuah parti politik yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan pengeluaran kad pengenalan.

Pemimpin terbabit iaitu Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Mohd Arshad Abdul Mualap, 46, bersama seorang lagi lelaki, Mohd Amkah Ahmad, 48, dihadapkan di Mahkamah Shah Alam, pagi tadi.

Hamzah berkata, kedua-dua suspek ditahan di Subang Jaya pada 22 Jun lalu dan polis turut merampas ratusan borang membabitkan ratusan mangsa penipuan.

Mereka dipercayai dalang sindiket penipuan yang menawarkan kad data lengkap berkod QR yang didakwa turut membolehkan pemohonnya memiliki Kad Pengenalan Malaysia (Mykad). – Info X