KENINGAU: Bau kurang menyenangkan ketika memancing membawa kepada penemuan rangka manusia dipercayai milik seorang kanak-kanak lelaki di tebing Sungai Sigapon, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, kanak-kanak berkenaan dikenali sebagai Muhammad Aidan Ridwan, 10, ditemui dalam keadaan tidak sempurna selepas seorang lelaki terhidu bau busuk sebelum menghampiri kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu kira-kira jam 9.17 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Siasatan mendapati rangka manusia yang ditemui dipercayai milik kanak-kanak yang sebelum ini dilaporkan lemas pada 24 Mac lalu di Sungai Pagalan, Sook.
“Lokasi rangka ditemui di Sungai Sigapon dianggarkan kira-kira 23 kilometer dari lokasi kejadian asal mangsa dilaporkan lemas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati rangka berkenaan tidak sempurna dan dipercayai telah dimakan haiwan liar.
“Rangka bersama cebisan kulit dan tisu dikutip sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pengecaman dilakukan oleh ibu mangsa pada jam 3 petang semalam dan mengesahkan rangka berkenaan adalah anaknya berdasarkan struktur gigi.
Difahamkan, dalam kejadian pada 24 Mac lalu, seorang lelaki warga emas, Fredoline Yariki, 60, bersama cucunya dilaporkan hilang ketika memeriksa bot di Sungai Pagalan berhampiran Taman Bersatu, Keningau.
Kehilangan mereka disedari ahli keluarga sebelum usaha mencari dilakukan di kawasan sungai berkenaan.
Warga emas itu kemudian ditemukan lemas di Sungai Banjar, Mempikit pada keesokan hari kira-kira jam 5.21 petang oleh penduduk kampung, manakala cucunya dipercayai dihanyutkan arus sebelum rangkanya ditemui di Sungai Sigapon. – Info X