KENINGAU: Marah kerana disaman, seorang pemandu jentolak merempuh kenderaan milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga terbalik dalam kejadian di Jalan Kepayan, Kampung Magatang, di sini, semalam.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu selepas anggota JPJ yang bertugas sempat menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Keningau, Nor Rafidah Kasim berkata, pemandu jentolak jenis backhoe terbabit iaitu seorang lelaki berusia 60 tahun telah ditahan selepas pihaknya menerima laporan pada jam 6.32 petang.
“Siasatan awal mendapati ketika menjalankan operasi harian, salah seorang anggota JPJ cawangan Keningau menahan dan membuat pemeriksaan ke atas kenderaan berat jenis backhoe yang mencurigakan.
“Lelaki terbabit kemudian didapati melalukan kesalahan jalan raya dan ketika saman hendak dikeluarkan, dia tidak berpuas hati dan marah dengan bertindak melanggar kenderaan JPJ yang dinaiki oleh petugas hingga mengakibatkan kerosakan pada kenderaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nor Rafidah berkata, suspek kemudian ditahan di lokasi kejadian dan pihak polis turut merampas jentolak yang digunakan untuk merempuh kenderaan pacuan empat roda milik JPJ itu.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
“Orang awam dinasihati untuk tidak membuat sebarang spekulasi terhadap video tular di media sosial yang akan mengganggu siasatan polis,” katanya.
Terdahulu, satu video berdurasi 51 saat memaparkan seorang lelaki melanggar kenderaan milik JPJ hingga terbalik menggunakan jentolak menjadi viral di media sosial sejak semalam. – Info X