KOTA MARUDU: Kegusaran keluarga berakhir apabila remaja perempuan yang dilaporkan hilang pada 28 Mac lalu ditemui semula dalam keadaan selamat di Kampung Tingkalanon, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Simiun Lomudin berkata, Christa Natalia Majaron, 17, ditemui kira-kira jam 11 pagi hasil maklumat dan tindakan pihak polis.

“Christa sebelum ini dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 28 Mac lalu sebelum berjaya dikesan semula hari ini dalam keadaan selamat.
“Susulan penemuan itu, ahli keluarga mangsa telah menarik semula laporan orang hilang kira-kira jam 11.41 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pihak polis bersama keluarga turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga mangsa berjaya ditemui.
“Orang ramai dinasihatkan supaya terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X