Search

Kebakaran pusat pelupusan sampah di Kayu Madang berjaya dikawal

March 31, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kebakaran longgokan tayar di Pusat Pelupusan Sampah Kayu Madang, Telipok, awal pagi tadi berjaya dikawal oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah tanpa membabitkan sebarang mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 pagi itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran tiba di lokasi pada jam 12.36 pagi, kira-kira 19 kilometer dari balai.

Ketua Balai BBP Tuaran, TPgB II Kurong Ak Beki, berkata kebakaran membabitkan longgokan tayar dengan anggaran keluasan kira-kira tiga ekar di kawasan pusat pelupusan berkenaan berjaya dikawal pada jam 5.32 pagi.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kebakaran sedang marak melibatkan longgokan tayar. Pasukan segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan empat pancutan.

“Sumber air diperoleh daripada jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Water Tanker bomba bagi memastikan operasi pemadaman berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi mengelakkan kebakaran daripada terus merebak, anggota bomba turut melaksanakan teknik ‘fire break’ di sekeliling kawasan longgokan tayar dengan bantuan dua jentera berat jenis excavator.

Operasi itu membabitkan seramai 30 anggota daripada beberapa balai iaitu BBP Tuaran, BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas, selain dibantu Unit Komunikasi serta agensi lain iaitu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Katanya, pelbagai aset digunakan dalam operasi berkenaan termasuk jentera FRT, Water Tanker, kenderaan utiliti serta unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan operasi pemadaman masih diteruskan sehingga api dipadam sepenuhnya serta keadaan benar-benar selamat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau lokasi kejadian dan maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X