Search

Tangkap dan hapus ikan koi – Jamawi

April 6, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah pada Isnin mengeluarkan arahan penangkapan dan pemusnahan ikan koi dan spesies Cyprinidae yang bukan endemik kepada Sabah dari kawasan tagal dan sungai di negeri ini.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar, berkata tindakan itu diambil selepas virus dibawa spesies ikan berkenaan, Koi Herpesvirus (KHV) disahkan sebagai punca utama kematian ikan pelian atau kelah yang dilaporkan di beberapa daerah sejak 1 Ogos 2025.

“Ikan itu hendaklah dimusnahkan serta-merta mengikut prosedur operasi standard (SOP) pelupusan biosekuriti yang ditetapkan dan sebarang pelepasan semula adalah dilarang sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Kematian ikan pelian secara besar-besaran yang disahkan berpunca daripada KHV dilaporkan berlaku di beberapa sungai utama di daerah Keningau, Tambunan, Tenom, Penampang, Tuaran, Ranau dan Sipitang.

Jamawi berkata, siasatan lapangan mendapati punca utama penularan adalah pelepasan ikan asing, khususnya ikan koi dan spesies lain dari keluarga Cyprinidae yang bukan endemik di Sabah ke dalam perairan umum tanpa kawalan.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu, katanya melanggar prinsip biosekuriti dan menyebabkan jangkitan serius terhadap spesies ikan tempatan termasuk ikan pelian yang dikategorikan sebagai spesies bernilai tinggi.

Beliau berkata, musim kemarau yang sedang berlaku turut meningkatkan suhu air sekali gus mewujudkan persekitaran sesuai untuk pengaktifan virus dan meningkatkan risiko kematian ikan secara besar-besaran.

Selain itu, katanya semua aktiviti import dan eksport ikan koi dari keluarga Cyprinidae turut dilarang serta-merta, meliputi ikan hidup, benih, induk dan sebarang bentuk pemindahan biologi yang berisiko menyebarkan virus KHV.

Di bawah Enakmen Perikanan Darat Sabah, katanya mana-mana pihak yang melepaskan ikan asing ke perairan umum, gagal mematuhi arahan pemusnahan atau melanggar larangan import dan eksport boleh dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.

Jamawi turut memberi amaran keras kepada pengusaha akuakultur, penternak ikan hiasan dan orang awam supaya tidak membawa masuk atau melepaskan spesies ikan asing ke perairan umum serta mematuhi sepenuhnya keperluan biosekuriti.

“Kejadian ini (penularan KHV) menjadi ancaman serius terhadap biodiversiti perairan darat Sabah dan berpotensi menyebabkan kehilangan kekal spesies ikan endemik seperti ikan pelian sekiranya tidak ditangani secara agresif dan bersepadu.

“Tiada kompromi terhadap ancaman biosekuriti, tindakan tegas akan diambil tanpa pengecualian,” katanya.

Sebelum ini, KHV disahkan sebagai punca utama kematian ikan pelian atau kelah yang dilaporkan di beberapa daerah di Sabah sejak 1 Ogos 2025 hasil analisis yang dijalankan Makmal Biosekuriti, Jabatan Perikanan Sabah di Kompleks Perikanan Likas, di sini.

Katanya, KHV adalah virus patogen berbahaya yang menyerang ikan daripada keluarga Cyprinidae dan diklasifikasikan sebagai penyakit akuakultur berimpak besar dengan kadar kematian yang sangat tinggi.

“Data saintifik menunjukkan kadar kematian boleh mencecah antara 80 hingga 100 peratus dalam populasi dijangkiti, selain virus ini aktif dalam suhu air sekitar 18 hingga 28 darjah Celsius dan menjadi lebih agresif apabila berlaku perubahan suhu secara mendadak.

“Ia juga mampu berada dalam keadaan laten sebelum aktif semula apabila berlaku tekanan persekitaran seperti musim kemarau dan merebak melalui air, sentuhan langsung, peralatan tercemar serta pemindahan ikan hidup,” katanya. – Info X