KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menggunakan peruntukan yang di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyalahguna logo UMS.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata pihaknya tidak boleh berdiam diri terhadap perbuatan seumpama itu kerana mencemar imej universiti, lebih-lebih lagi apabila logo dan nama UMS disalah guna untuk menganjurkan aktiviti bermotif politik atau bertentangan dengan peranan universiti itu.
Jelasnya, tindakan tegas perlu diambil bagi memberi kesedaran dan peringatan kepada pelajar serta semua pihak mengenai pentingnya menjaga imej universiti sebagai gedung ilmu dan pusat kecemerlangan dalam pelbagai bidang.
“UMS sangat memandang serius mengenai salah guna logo universiti ini. UMS adalah satu institusi yang kalau boleh kita tidak mahu melibatkannya dalam apa-apa isu sensitif yang boleh memberi impak negatif kepada masyarakat keseluruhannya.
“Jadi, salah guna logo UMS ini adalah satu kesalahan kerana UMS adalah satu gedung ilmu yang tidak terbabit dengan apa-apa kepartian politik.
“Tapi, ada yang cuba mengaitkan UMS dengan isu-isu politik sedangkan UMS ini adalah satu institusi pendidikan dan pusat kecemerlangan,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Aidilfitri Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohd Arif Tun Sakaran, di sini, pada Ahad.
Kasim berkata pelajar yang menyalah guna logo UMS dan membawa isu yang memberi persepsi negatif terhadap universiti dalam kalangan masyarakat adalah satu kesalahan.
“Jadi, di peringkat ini UMS mengambil pendekatan dengan melihat kaedah yang sesuai dalam AUKU untuk tindakan undang-undang dalam ruang lingkup akta berkenaan.
“UMS tidak akan berdiam diri dan kita cuba untuk menjelaskan kepada masyarakat bahawa UMS tidak terbabit dengan sebarang isu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat.
“Proses ini telahpun dilakukan di bahagian perundangan universiti dan tindakan undang-undang selanjutnya akan dibuat,” katanya.
Katanya, langkah yang diambil pihak pengurusan UMS itu adalah untuk memastikan nama universiti berkenaan tidak dibiarkan tercemar disebabkan tindakan bertentangan dengan peraturan oleh pelajarnya sendiri.
“Kita mahu menjaga dan melindungi nama UMS supaya universiti ini kekal dihormati sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang bebas daripada segala isu yang boleh memberi gambaran negatif di kalangan masyarakat,” katanya. – Info X