KOTA KINABALU: Sabah bakal memiliki Hospital Institut Jantung Negara (IJN) sendiri tidak lama lagi susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara
Kumpulan Yayasan Sabah melalui syarikat pelaburannya Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) dan IJN pada Isnin.
Majlis menandatangani MoU untuk membina hospital itu disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata penubuhan hospital jantung pertama di Sabah itu adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.
Katanya, di bawah kerjasama strategik Yayasan Sabah dan IJN, sebuah hospital yang khusus untuk rawatan penyakit kardiovaskular akan dibina di atas tapak seluas 10 ekar di Likas.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya, berkata dengan adanya hospital jantung bertaraf tinggi di Sabah, pesakit tidak lagi perlu bergantung kepada kemudahan di luar negeri, sekali gus dapat mengurangkan beban kos perjalanan serta mempercepatkan akses kepada rawatan pakar.
“Usaha ini juga akan membantu menyokong sistem kesihatan sedia ada di Sabah, termasuk perkhidmatan di Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II (HQE2) yang pada masa ini mempunyai kapasiti yang terhad berbanding keperluan sebenar rakyat,” katanya.
Jasnih berkata, kerjasama strategik itu membawa manfaat kepada rakyat Sabah bukan saja dari segi peningkatan akses kepada rawatan kesihatan tetapi juga dari segi pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan.
Pengerusi IJN, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penyakit jantung masih menjadi penyebab utama kematian di Malaysia dan trend itu memperlihatkan peningkatan keperluan terhadap sistem kesihatan yang lebih responsif dan bersepadu.
“Sehubungan itu, katanya akses kepada rawatan berkualiti tinggi perlu diperluaskan agar dapat dinikmati secara lebih menyeluruh tanpa mengira lokasi geografi,” katanya.
Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata pembukaan Hospital IJN di Sabah juga membuka pasaran baharu dalam pelancongan kesihatan yang menawarkan perkhidmatan perubatan bertaraf global dengan harga yang berpatutan.
Menandatangani MoU bagi pihak Kumpulan Yayasan Sabah ialah Pengarah Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Pengerusi Eksekutif ICSB Datuk Jasnih Daya, manakala IJN diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib dan Ketua Pegawai Klinikal, Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya.
Pada majlis yang sama, satu lagi MoU turut dimeterai di antara University College Sabah Foundation (UCSF) dan IJN University College yang dijangka membuka peluang kepada pembangunan tenaga kerja mahir dan profesional dalam bidang kesihatan.
UCSF diwakili Naib Canselor, Datuk Dr Rafiq Idris dan Pendaftar Norashikin Ahmad, manakala Naib Canselor Prof Emerita Dr Durrishah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Akmal Arief Fauzi menandatangani bagi pihak IJN University College. – Info X