LAHAD DATU: Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatat 13 serbuan dengan 24 kes kejayaan sepanjang Mac 2026, membabitkan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM4.13 juta.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Batalion 17 PGA Lahad Datu, operasi berkenaan dilaksanakan Cawangan Risik/Task Force Ibu Pejabat Batalion (IP) diketuai Inspektor Mohd Nazari Edris bersama Op Taring ESSZONE Kompeni C yang dipimpin Asisten Superintendan Mohd Adam Rahmat.

Menurut kenyataan itu, seramai 18 individu ditahan membabitkan 10 lelaki dan lapan wanita, dengan pecahan 10 tangkapan warga tempatan manakala lapan lagi warga asing.
“Rampasan melibatkan pelbagai barangan termasuk hidupan liar dilindungi, produk sejuk beku, mercun, rokok seludup, barang kawalan seperti petrol dan diesel serta kenderaan.

“Antara kes menarik, pada 25 Mac lalu di Felda Sahabat 2, seorang lelaki warga asing ditahan bersama lima paket kecil syabu seberat 0.76 gram serta 360 bungkus rokok kretek dipercayai tidak bercukai.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam operasi berasingan, menurut kenyataan itu lagi, pada 12 Mac di Jalan Dam, dua lelaki tempatan ditahan bersama 148 ekor burung liar dilindungi dan 64 sangkar besi tanpa permit sah, dengan nilai rampasan dianggarkan RM245,500.

“Kes itu diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan disiasat di bawah Seksyen 40(2)(a) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
“Sementara itu, pada 18 Mac di Kampung Burung, dua lelaki tempatan ditahan bersama pelbagai jenis mercun tanpa permit selain dua lori yang digunakan untuk pengangkutan, dengan nilai rampasan RM494,250.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Bagi suku pertama 2026, Batalion 17 PGA Lahad Datu mencatat jumlah rampasan keseluruhan RM6.62 juta,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pihaknya akan terus komited mempergiat operasi penguatkuasaan selain menghargai kerjasama agensi termasuk Jabatan Hidupan Liar Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa tempatan.

“Orang ramai disaran terus menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya. – Info X